
TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas bertindak agresif dan mengeluarkan ugutan jenayah terhadap penghuni sebuah rumah yang juga ahli keluarganya di Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa.
Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam apabila suspek berusia lingkungan 40-an dilaporkan mengamuk secara tiba-tiba.
“Suspek turut membawa sebatang kayu dan mengugut akan mengambil parang serta menetak penghuni rumah berkenaan.
“Suspek yang juga sepupu kepada isteri mangsa dipercayai berkelakuan demikian tanpa sebarang motif yang jelas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebaik menerima laporan pada jam 12.56 tengah malam, sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau segera dikerahkan ke lokasi kejadian sebelum berjaya menahan suspek bersama kayu yang dibawanya.
“Turut dirampas ialah sebatang kayu berukuran kira-kira tiga sentimeter lebar dan 70 sentimeter panjang yang digunakan suspek ketika kejadian.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya.
