
TONGOD: Rakyat Sabah digesa mencontohi sikap rakyat Sarawak yang konsisten dalam mempertahankan kestabilan politik demi menjamin kelangsungan pembangunan yang dirancang kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, sudah tiba masanya rakyat Sabah berfikir secara lebih matang dan jauh ke hadapan agar negeri ini tidak terus ketinggalan berbanding jiran terdekatnya itu.
“Rakyat Sabah sering kali membandingkan kemajuan Sarawak dan Sabah. Jika kita mahu maju seperti Sarawak, maka kita perlu ikut cara pemikiran rakyat Sarawak yang mengutamakan kestabilan politik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, kelmarin.
Masiung berkata, perubahan kerajaan yang terlalu kerap di Sabah menjadi penyumbang utama kepada kelewatan malah kegagalan pelaksanaan pelbagai program pembangunan.
“Bayangkan perancangan yang telah disusun selama lima tahun, tiba-tiba kerajaan negeri bertukar. Ketua Menteri, pengarah jabatan, pegawai kanan juga ditukar… sudah pasti pembangunan dirancang akan tergendala atau gagal dilaksanakan,” katanya.
Masiung menambah, setiap pertukaran kerajaan akan disusuli dengan polisi baharu yang belum sempat dilaksanakan, sudah berlaku pertukaran semula.
“Akhirnya yang rugi adalah rakyat. Kita terus mundur dan jauh ketinggalan,” tegasnya.
Beliau turut membandingkan rekod perubahan pucuk pimpinan kedua-dua negeri, dengan menyatakan bahawa Sabah telah menyaksikan 16 Ketua Menteri dalam tempoh 60 tahun, manakala Sarawak hanya enam.
“Di Sarawak, pertukaran Ketua Menteri berlaku selepas tamat tempoh atau kematian, tetapi Kerajaan tetap kekal dalam satu gabungan politik yang stabil,” katanya.
Beliau turut menjadikan projek Lebuhraya Pan Borneo sebagai contoh ketara ketidakstabilan politik yang menjejaskan pembangunan.
“Sabah dan Sarawak menerima peruntukan serentak daripada Kerajaan Persekutuan. Tapi Sarawak sudah siap sepenuhnya, manakala projek di Sabah tertangguh kerana melalui tiga kerajaan yang berlainan dasar,” katanya.
Masiung menegaskan, sikap suka menukar kerajaan sebenarnya tidak menjejaskan pemimpin atau wakil rakyat kerana mereka tetap menerima gaji, tetapi rakyat biasa yang akan terus menanggung kerugian.
“Yang rugi adalah rakyat. Yang sibuk mengkritik, terpengaruh dengan laporan media sosial tidak berdaftar, akhirnya diri sendiri yang susah. Pemimpin tetap bergaji. Jadi siapa yang sebenarnya rugi?” soalnya.


Leave feedback about this