
KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Ewon Benedick mengalu-alukan penerimaan rasmi UPKO sebagai parti komponen baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sambil menyifatkan langkah itu sebagai usaha memperkukuh perpaduan parti-parti tempatan di negeri ini.
Menurut beliau, UPKO berterima kasih kepada Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor serta seluruh Majlis Tertinggi GRS yang meluluskan permohonan keanggotaan parti itu yang dikemukakan pada 29 Mei lalu.
Ewon berkata, penyertaan UPKO dalam GRS mengembalikan semangat asal pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963, yang menekankan peranan wilayah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu dalam pembentukan negara.
Beliau turut menegaskan bahawa parti-parti tempatan Sabah lebih memahami keperluan serta aspirasi rakyat negeri ini dalam merancang pembangunan masa depan.
“GRS adalah satu-satunya gabungan parti tempatan Sabah, maka sepatutnya inilah rumah sebenar parti politik dari Sabah,” katanya.
Menurutnya, UPKO komited untuk menyumbang kepada pengukuhan dan pemerkasaan GRS dalam menerajui pentadbiran serta pembangunan Sabah di bawah kepimpinan Hajiji.
Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu di bawah gabungan parti tempatan melalui GRS demi merealisasikan aspirasi “Sabah First, Sabah Prosper, Sabah United”.


Leave feedback about this