
Paip Usang, Lot Haram dan Setinggan Punca Utama Masalah Air di Tawau
TAWAU: Rangkaian paip usang, penjualan lot tanah tanpa kelulusan dan pertambahan penempatan setinggan dikenal pasti sebagai tiga punca utama yang menjejaskan kestabilan bekalan air di Tawau.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, pembinaan Empangan Cintamata yang dijangka siap pada 2027 serta Loji Rawatan Air Cintamata II pada 2028 akan meningkatkan kapasiti bekalan air, namun masalah asas dalam sistem agihan perlu diselesaikan secara menyeluruh.
Menurut beliau, kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW) yang tinggi akibat kebocoran paip lama menjadi cabaran utama, selain paip usang yang turut berisiko menjejaskan kualiti air.
Beliau turut menegaskan bahawa penjualan lot tanah tanpa kelulusan serta pertambahan penempatan setinggan menyukarkan Jabatan Air merancang keperluan utiliti kerana jumlah penduduk sebenar tidak direkodkan.
Lo berkata, kerajaan perlu melaksanakan pelan menyeluruh yang merangkumi pengurangan NRW, penggantian paip lama, kawalan pembangunan lot tanpa kelulusan dan penyelesaian isu penempatan setinggan.
Katanya, bagi penyelesaian jangka pendek, Jabatan Air bersama UPPM Apas, Balung dan Sri Tanjong meneruskan usaha membina tangki statik, menghantar bekalan air menggunakan lori tangki serta membina telaga tiub untuk membantu penduduk yang sering mengalami gangguan bekalan.
Beliau menambah, projek penggantian paip di seluruh Sabah turut menjadi antara keutamaan kerajaan negeri di bawah Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air yang lebih bersih, selamat dan berkualiti.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this