Tempatan Utama

“Terima Kasih Ibu” -Maya Hejnowska

“Terima Kasih Ibu”

Oleh: Amirah Nabilah Binti Daiman @ Daim, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

KOTA KINABALU – Sokongan dan restu daripada ibu menjadi pendorong kepada kejayaan juara pertandingan Unduk Ngadau tahun 2021, Maya Hejnowska bergelar graduan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Anak kelahiran Putatan, Sabah yang berumur 23 tahun itu menerima skrol bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Seni Muzik) sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25.

Menurut Maya, kunci kejayaannya adalah ibu beliau, Jenne Lajiun yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan dalam setiap perkara yang beliau lakukan.

“Dengan sokongan dan restu ibu, saya juga telah menyertai pertandingan Unduk Ngadau pada tahun 2021.

“Walaupun pada mulanya hanya untuk suka-suka tetapi tidak menyangka mampu muncul juara pada pertandingan tersebut, apatah lagi pada waktu itu adalah musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan saya hanya mencuba nasib,” katanya.

Mengulas lanjut, Maya berkata ibunya sentiasa menyokong apa yang dilakukannya sehingga sanggup menemani beliau ke mana-mana.

“Ibu ialah insan pertama yang sentiasa memberi semangat dalam setiap perkara yang saya lakukan.

“Ibu juga pengurus dan saya tidak akan menyertai apa-apa pertandingan jika tiada kebenaran daripada ibu saya.

“Saya tidak mengidolakan siapa-siapa, mungkin ini hanyalah keperibadian saya tapi sebab utama saya berbuat suatu perkara itu adalah kerana keberkatan dari Tuhan dan restu dari ibu saya terutamanya,” kata Maya.

Beliau yang merupakan anak kedua dari tiga beradik turut berkongsi bahawa pengurusan masa adalah penting tatkala aktif menyertai aktiviti lain khususnya di luar UMS, serta berhasrat untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Leave feedback about this

  • Rating