Sabah First Info Blog Tempatan Tegur Penjual Rokok Tanpa Cukai, Penguat Kuasa Dipukul — Polis Tahan Suspek
Tempatan Utama

Tegur Penjual Rokok Tanpa Cukai, Penguat Kuasa Dipukul — Polis Tahan Suspek

SANDAKAN — Polis menahan seorang suspek bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang dipercayai dibelasah sekumpulan lelaki ketika menjalankan rondaan di kawasan Pasar Batu 8, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika mangsa bersama rakan sekerjanya menjalankan rondaan bagi memantau aktiviti perniagaan di kawasan pasar berkenaan.

Menurutnya, mangsa dikatakan menegur seorang lelaki yang dipercayai menjual rokok tanpa cukai secara terbuka di kawasan tersebut sebelum tercetus pertengkaran.

“Susulan pertengkaran itu, beberapa individu lain dipercayai turut campur tangan dan bertindak menyerang mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian badan akibat kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis telah memulakan siasatan dan berjaya mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Setakat ini, seorang suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan bagi menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

Exit mobile version