
SEMPORNA: Kerajaan Negeri sedang merancang pelbagai program sempena Tahun Melawat Sabah 2027 bagi memperkukuh jenama Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, inisiatif itu akan meneruskan momentum positif daripada Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memastikan pertumbuhan industri pelancongan yang mampan dan inklusif.
Menurut beliau, kerajaan turut mempergiat pelbagai program dan acara berimpak tinggi termasuk Regatta Lepa Semporna, promosi pelancongan berasaskan komuniti serta kempen pemasaran digital bagi menarik lebih ramai pelawat antarabangsa.
Teks ucapan beliau pada majlis perasmian Regatta Lepa Semporna malam tadi disampaikan oleh Nizam Abu Bakar Titingan.
Hajiji berkata, segala perancangan itu meletakkan Sabah di landasan tepat untuk mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, selepas negeri ini merekodkan 3.79 juta pelawat tahun lalu.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan budaya dan maritim utama di rantau ini.
Katanya, pemeliharaan warisan budaya bukan lagi satu pilihan, sebaliknya tanggungjawab bersama bagi memastikan identiti dan khazanah warisan negeri terus terpelihara.
Menurut beliau, Regatta Lepa Semporna telah membuktikan bahawa acara berasaskan budaya mampu menjadi produk pelancongan berimpak tinggi apabila menarik ribuan pelawat setiap tahun, sekali gus memberi manfaat kepada pengusaha hotel, pengendali bot pelancong, peniaga kecil, usahawan kraftangan, pengusaha makanan dan minuman serta komuniti setempat.
Beliau berkata, perahu lepa yang menjadi simbol kehidupan masyarakat Bajau di Semporna bukan sahaja berfungsi sebagai pengangkutan laut, malah melambangkan kemahiran pertukangan, kreativiti dan kehalusan seni yang wajar terus dipelihara sebagai khazanah warisan negeri.
