
KOTA BELUD: Program sambutan hari raya yang diadakan di sekolah mampu mengeratkan hubungan antara ibubapa dan guru-guru, selain memperluaskan lagi pengertian akan makna kasih sayang di kalangan masyarakat.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan berkata, ramai ibubapa yang tidak dapat menerima hakikat ketika seseorang guru digerakkan dari satu sekolah ke satu sekolah lain, apatah lagi apabila kehadiran guru tersebut dilihat mampu memacu perubahan positif di sekolah.
Walau bagaimanapun, pergerakan yang berlaku itu adalah atas dasar tuntutan perjawatan dan menandakan guru tersebut memperlihatkan prestasi yang memuaskan dalam tugas, seterusnya berpeluang meniti kecemerlangan dalam kerjaya mereka sebagai guru.
“Perpindahan tempat mengajar itu lumrah, dan kehadiran guru baru itu lumrah. Cuma yang paling penting adalah bagaimana ibubapa memberi motivasi kepada anak-anak untuk terus belajar dan bersungguh-sungguh mengejar impian mereka,” tambahnya lagi.
Fairuz berkata demikian semasa berucap merasmikan program Sambutan Hari Raya Bersama Datuk Fairuz dan Majlis Semarak Kasih SK Tamau anjuran PIBG dengan kerjasama SK Tamau, di Dewan SK Tamau, pada Sabtu.
Yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Haji Bakri Nanun; Ketua Daerah Kota Belud, OKK Haji Mayur Haji Radim; Pegawai PPD, Zainab Intah; Guru Besar SK Tamau, Rasmi Datu Tumai dan Pengerusi PIBG SK Tamau, Japlin Asrakal.
Fairuz yang juga ADUN N8 Pintasan menambah, PIBG sebagai wadah kerjasama antara ibubapa dan para guru perlu bersikap lebih proaktif dalam mendepani dunia tanpa sempadan hari ini, apabila generasi baru kian hanyut oleh dunia gajet berbanding mengisi masa lapang dengan membaca buku.
AMBIL PELUANG…Guru-guru, AJK PIBG serta jemputan mengambil peluang bergambar bersama Fairuz (tengah).
“Jasa guru yang mendidik anak-anak kita perlu dikenang dan diingat selalu. Namun tanggungjawab para ibubapa yang paling penting adalah mereka perlu menerapkan nilai mencintai ilmu pengetahun kepada anak-anak di mana pun mereka berada.
“Siapa pun guru yang mengajar di sekolah, sudah pasti memberi yang terbaik untuk anak didik mereka. Ingatkan kepada anak-anak kita agar sentiasa menghormati guru, kerana guru adalah obor bagi masyarakat yang berjaya,” tegasnya.
Sementara itu, majlis berkenaan juga turut meraikan Ustaz Ahmad Nawal Hj Ahmad Karim dan Mismahwati Jamli yang digerakkan ke sekolah lain, serta mengalu-alukan kehadiran Shahrulhazni Mahali dan Ustazah Sahidatul Azwa Yadtah Abdullah yang baru ditugaskan di SK Tamau.
