
KOTA KINABALU: Projek penaiktarafan Hospital Daerah Ranau kini memasuki fasa mengenal pasti tapak bagi pembinaan blok klinikal baharu bagi meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan Paginatan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal berkata, projek itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan, terutama kepada masyarakat yang bergantung kepada kemudahan kesihatan berhampiran.
Beliau berkata, selain menaik taraf Hospital Ranau, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut melaksanakan pendekatan hospital kluster bagi mengatasi kekurangan doktor dan petugas kesihatan di kawasan pedalaman.
Menurutnya, pendekatan itu menggabungkan beberapa hospital dan klinik berhampiran yang mempunyai kepakaran serta bukan kepakaran bagi membolehkan perkongsian tenaga kerja, kepakaran dan kemudahan kesihatan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Langkah ini membantu memastikan penduduk luar bandar terus menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti walaupun berdepan kekangan tenaga kerja,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Rusdin @ Musidi Riman (Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Rina berkata, penduduk Paginatan turut mendapat akses kepada beberapa fasiliti kesihatan berhampiran termasuk Klinik Desa Bongkud, Klinik Desa Matupang, Klinik Desa Nalapak, Klinik Desa Narawang dan Klinik Desa Tampios.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Jaujan Sambakong (Sulabayan), beliau memaklumkan kerajaan negeri mempunyai pangkalan data lengkap bagi mengenal pasti daerah yang menjadi kluster pelbagai penyakit di Sabah.
Katanya, pangkalan data itu merangkumi maklumat berkaitan penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang dan tuberkulosis (tibi), selain keperluan mesin serta peralatan perubatan di setiap hospital daerah.
“Semua keperluan yang dikenal pasti sebagai kritikal diberi keutamaan tinggi supaya tindakan susulan dapat dipercepatkan dan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Sabah terus dipertingkatkan,” katanya.


Leave feedback about this