Sabah First Info Blog Tempatan Sabah Tegas Pertahan Kuasa Autonomi Imigresen, AKPS Tidak Boleh Hakis Hak Negeri
Tempatan Utama

Sabah Tegas Pertahan Kuasa Autonomi Imigresen, AKPS Tidak Boleh Hakis Hak Negeri

Sabah Tegas Pertahan Kuasa Autonomi Imigresen, AKPS Tidak Boleh Hakis Hak Negeri

KOTA KINABALU, – Kerajaan Sabah menegaskan kuasa autonomi imigresen negeri yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hak yang tidak boleh dirunding dan mesti terus dipelihara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pendirian itu diambil bagi memastikan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia 2024 tidak menjejaskan kuasa autonomi Sabah dalam urusan imigresen.

Perkara itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnain Haji Aliasnih, ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Tamparuli) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Selasa.

Menurut Isnain, kerajaan negeri telah mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri yang menegaskan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah mesti terus mengawal semua pintu masuk ke negeri ini.

“Kerajaan Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen kepada Sabah yang termaktub di bawah Artikel V Perjanjian Malaysia 1963 merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga mengekalkan kuasa pengeluaran arahan Not-To-Land (NTL) di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.

Katanya, kerajaan negeri akan terus memastikan jaminan perlembagaan berkaitan kedudukan Sabah dipelihara agar hak istimewa serta kuasa autonomi imigresen negeri kekal terpelihara dan tidak terhakis.

Exit mobile version