
TELUPID: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jamawi Jaafar menghadiri sesi libat urus bagi memuktamadkan konsep reka bentuk projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur pengairan serta saliran di Skim Pengairan Trusan Sapi, di sini, hari ini.
Dalam sesi itu, beliau mengadakan pertemuan bersama para petani, pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai Ketua Pengarah Bahagian Pertanian, Zul Hadi Awang.
Hasil sesi berkenaan, Jamawi menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri kepada 40 peratus menjelang 2030.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, fokus utama ketika ini adalah menaik taraf sistem pengairan serta memulihkan sawah terbiar, termasuk di kawasan Trusan Sapi.
“Jika kita dapat membangunkan sawah padi terbiar seluas kira-kira 4,000 hektar, sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan SSL sebanyak 20 peratus. Ini bermakna menjelang 2030, SSL boleh mencecah sekitar 40 peratus,” katanya ketika ditemui media.
Menurutnya, pembangunan kira-kira 3,000 hektar di Trusan Sapi sahaja mampu menyumbang peningkatan SSL sebanyak 10 peratus sekiranya sistem pengairan dipertingkatkan.
Selain aspek infrastruktur, beliau turut menekankan kepentingan mekanisasi pertanian serta penambahan kapasiti kilang padi bagi menyokong peningkatan pengeluaran pada masa hadapan.
Sehari sebelum itu, Jamawi turut mengadakan lawatan tinjauan ke Ladang Unggas Bantayan, Tamparuli milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah. Lawatan berkenaan bertujuan melihat pelbagai ternakan termasuk ayam penelur, ayam kampung kacukan, ayam mutiara, burung puyuh, ayam turki dan unggas lain bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya dalam program jelajah Kebun Dapur.
Beliau turut melawat Ladang FarmBay di Tuaran yang menternak itik dan burung puyuh penelur milik Jessie Ambukon.
Turut hadir Pembantu Menteri I dan II, Ruslan Muharam dan Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Jumain Abdul Ghani; serta beberapa pegawai kanan agensi berkaitan termasuk Lembaga Padi dan Beras Sabah
