
Sabah Mohon Mekanisme Khas Subsidi Diesel Untuk Industri Pelancongan
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan mekanisme khas pelaksanaan subsidi diesel bersasar bagi industri pelancongan di Sabah yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api itu untuk operasi harian.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelaksanaan subsidi diesel perlu mengambil kira keunikan geografi Sabah yang mempunyai banyak kawasan pulau dan pedalaman, berbeza dengan keadaan di Semenanjung Malaysia.
Menurut beliau, had penggunaan diesel sebanyak 200 liter sebulan ketika ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pengusaha resort di pulau-pulau, pengendali bot pelancongan, operator aktiviti marin serta masyarakat di kawasan pedalaman yang menggunakan diesel sebagai sumber tenaga utama.
Katanya, diesel bukan lagi satu pilihan di Sabah, sebaliknya menjadi keperluan asas bagi menjana bekalan elektrik, menggerakkan pengangkutan laut, logistik dan menyokong operasi harian.
Jafry turut memaklumkan kementeriannya menerima pelbagai aduan daripada pemain industri pelancongan yang tidak layak menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), sekali gus memaksa mereka menanggung kos operasi yang lebih tinggi.
Beliau berkata, keadaan itu berlaku ketika industri pelancongan Sabah masih belum memasuki musim kemuncak pelancong, menyebabkan peningkatan kos terus memberi tekanan kepada margin keuntungan dan aliran tunai pengusaha.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penyertaan sektor pelancongan dalam mekanisme subsidi diesel bersasar atau menyediakan kaedah khas yang lebih sesuai kepada pengusaha pelancongan di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.
Bagi memastikan isu itu diberi perhatian, surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.
Jafry menegaskan industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi Sabah dan menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat negeri ini. Beliau berharap dasar berkaitan subsidi diesel mengambil kira realiti operasi di Sabah agar sektor pelancongan negeri terus berkembang secara mampan.
