
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menerima kunjungan hormat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sabah (SHAREDA), diketuai Presidennya, Datuk Johnny Wong Chen Yee, bersama rombongan di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Masidi menerima taklimat mengenai perkembangan semasa sektor hartanah dan perumahan di Sabah, termasuk peranan serta sokongan SHAREDA dalam membantu Kerajaan Negeri memperkasa pembangunan dan pertumbuhan sektor berkenaan.
Masidi turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap kerjasama antara Kerajaan Negeri dan SHAREDA dapat terus diperkukuh bagi menyokong pembangunan sektor hartanah dan perumahan di Sabah.
Kerjasama berterusan antara kerajaan dan pihak industri dilihat penting dalam memastikan sektor hartanah serta perumahan terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat serta ekonomi negeri.
