
KENINGAU: Kerajaan negeri terus komited memperkukuh jaringan kerjasama bagi memperluaskan akses kepada pendidikan, intervensi awal dan sokongan kepada anak-anak berkeperluan pendidikan khas menerusi penglibatan pelbagai pihak.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu melibatkan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), sekolah, ibu bapa, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM173.56 juta kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat serta jabatan dan agensi di bawahnya tahun ini bagi melaksanakan agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya, pelbagai program kebajikan dilaksanakan termasuk Skim Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak, ibu tunggal, anak yatim serta Program Bantuan Makanan kepada golongan daif dan miskin.
“Kerajaan juga akan menambah Pusat Autisme Sabah (PAUS). Ketika ini PAUS Kota Kinabalu yang beroperasi di Sembulan menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak autisme, manakala pusat baharu akan diwujudkan secara berfasa di Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort bermula tahun ini,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun, ketika merasmikan The Neurohope Programme 2026 di Keningau, Sabtu.
Hajiji berkata, program itu menghimpunkan sektor pendidikan, kesihatan, kerajaan, pertubuhan masyarakat, ibu bapa dan komuniti dalam usaha membina masyarakat yang lebih memahami serta menyokong perkembangan setiap kanak-kanak.
Beliau turut menyeru ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan orang ramai memanfaatkan program itu untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman serta memperkukuh ekosistem sokongan yang holistik kepada anak-anak berkeperluan khas.
Pada masa sama, beliau memuji usaha warga SK Bingkor yang berjaya menjadikan sekolah sebagai pusat pembangunan komuniti serta mengucapkan tahniah kepada Dr. Velerie Primus atas pencapaian di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan pendidikan inklusif.
Hajiji berharap The Neurohope Programme dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan daerah di Sabah bagi memperkukuh pendidikan inklusif, memperkasa keluarga serta membina masyarakat yang lebih prihatin.
