Sabah First Info Blog Tempatan ‘Sabah for Sabahan’ lambang semangat perjuangan hak negeri – Nizam
Tempatan Utama

‘Sabah for Sabahan’ lambang semangat perjuangan hak negeri – Nizam

TAWAU: Slogan ‘Sabah for Sabahan’ bukan sekadar retorik bermusim, sebaliknya adalah manifestasi semangat perjuangan rakyat negeri ini dalam menuntut hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kenyataan yang menyifatkan slogan itu sebagai tidak relevan jelas menggambarkan kegagalan pihak terbabit memahami sejarah dan asas pembentukan negara Malaysia.

“Slogan ‘Sabah for Sabahan’ sebenarnya membawa maksud perjuangan untuk memastikan hak-hak negeri ini tidak diketepikan dan Sabah terus berada di landasan yang betul dalam sistem Persekutuan.

“Kita dalam GRS, termasuk pimpinan utama seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sentiasa menitikberatkan kepentingan Sabah dalam segenap aspek pentadbiran dan pembangunan,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA), di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyifatkan slogan itu tidak relevan, Nizam menegaskan bahawa semangat ‘Sabah for Sabahan’ tidak bercanggah dengan konsep Malaysia.

“Apabila kita bercakap tentang Sabah for Sabahan, ia bukan bermaksud menolak Malaysia, tetapi kita mahu Sabah diuruskan oleh parti dan kepimpinan yang benar-benar memahami dan berteraskan kepentingan rakyat Sabah.

“Sabah, Sarawak dan Semenanjung merupakan tiga entiti yang membentuk Malaysia. Jadi kedudukan Sabah bukan sama seperti negeri-negeri biasa di Semenanjung, tetapi adalah satu partner dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihak luar yang cuba menafsirkan semangat Sabah for Sabahan secara sempit sebenarnya tidak memahami aspirasi rakyat Sabah yang ingin melihat negeri ini dibangunkan berdasarkan keperluan dan acuan sendiri.

“Biarlah urus tadbir Sabah ini dilakukan oleh parti-parti yang berpangkalan dan berakar umbi di Sabah, bukan oleh pihak yang berpangkalan di luar Sabah,” katanya

Mengulas mengenai perkembangan semasa politik Sabah, Nizam berkata, perbincangan berkaitan kerjasama politik masih berjalan dan setakat ini belum ada keputusan muktamad.

Namun katanya, apa sahaja keputusan mesti berlandaskan kepada realiti bahawa kerajaan Sabah kini adalah gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Apa juga yang ingin dirangka atau diputuskan, asasnya adalah kerajaan GRS-PH. Kita mesti hormat mandat rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut menyentuh peri pentingnya Perjanjian Malaysia tidak diabaikan, dan ia menjadi asas kepada semangat Sabah for Sabahan yang diperjuangkan.

“Kita mahu Malaysia yang adil dan sejahtera, namun dalam masa sama hak Sabah seperti termaktub dalam perjanjian mesti dipelihara.

“Jadi bila ada pemimpin dari luar yang menyamakan Sabah dengan negeri-negeri lain, ia satu pendekatan yang tidak menghormati sejarah pembentukan Malaysia,” katanya.

Katanya, perjuangan GRS bukan sekadar untuk membangunkan Sabah, tetapi memastikan ia dilakukan dengan cara yang menepati aspirasi serta hak rakyat negeri ini.

“Ini bukan soal slogan, ini soal prinsip dan tanggungjawab terhadap negeri yang kita cintai,” katanya.

Exit mobile version