Tempatan Utama

Sabah Dong Zong ucap tahniah kepada Hajiji

KOTA KINABALU: Pengerusi kumpulan persatuan jawatankuasa Sekolah menengah Cina persendirian Sabah (Sabah Dong Zong),  Datuk Au Kam Wah, menyampaikan ucapan tahniah yang setulusnya kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kejayaannya membentuk barisan kabinet baharu negeri dalam tempoh tiga hari sahaja selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Menurutnya, pelantikan segera para menteri dan pembantu menteri itu mencerminkan kecekapan serta kestabilan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

Dengan berakhirnya Pilihan Raya Negeri pada 29 November lalu, beliau berkata rakyat Sabah telah membuat pilihan secara demokratik untuk menentukan kepimpinan negeri bagi penggal baharu.

Beliau menegaskan bahawa kematangan budaya politik rakyat bermaksud semua pihak, tanpa mengira pendirian, wajar bersatu padu menyokong usaha kerajaan negeri, manakala pihak pembangkang pula memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan kerajaan yang diberi mandat majoriti dapat mentadbir dengan baik untuk kesejahteraan rakyat.

Dalam kabinet negeri kali ini, satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kaum Cina yang terpilih dari gabungan pemerintah ialah Ben Chong Chen Bin, telah dilantik sebagai Pembantu Menteri kewangan.

Beliau dijangka memainkan peranan penting dalam hal ehwal masyarakat Cina serta penyelarasan bantuan pendidikan dan sumber berkaitan.

Au turut menghargai usaha Hajiji yang sepanjang lima tahun lalu, secara konsisten meningkatkan peruntukan kepada sektor pendidikan dan keagamaan.

Langkah tersebut telah memberi manfaat besar kepada sekolah bukan kerajaan serta pertubuhan bukan Islam, sekali gus meringankan beban kewangan mereka pada waktu ekonomi mencabar.

Usaha ini mendapat pengiktirafan luas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Sebelum penggal lalu berakhir, Ketua Menteri turut mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Sijil UEC serta berjanji untuk menaikkan peruntukan pendidikan dan agama kepada RM90 juta sekiranya kerajaan beliau disambung.

“Gabungan Lembaga Pengarah Sekolah Menengah Persendirian Sabah menyifatkan keputusan itu sebagai satu pencapaian penting ke arah memupuk keadilan pendidikan dan menyokong sistem pendidikan pelbagai aliran,” katanya dalam kenyataan.

Dalam masa sama, beliau menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonan biasiswa kerajaan Sabah melalui kelayakan UEC.

 

Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating