
Sabah Dijangka Raih 40 Peratus Bahagian Projek FLNG, 20 Peratus Lapangan Minyak Sandakan
KALABAKAN: Kerajaan Sabah dijangka memperoleh 40 peratus bahagian menerusi projek fasiliti gas asli cecair terapung (FLNG) di negeri ini selepas perjanjian bersama PETRONAS dimeterai dalam beberapa bulan akan datang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, perkembangan itu merupakan antara kejayaan penting hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, selain susulan perjanjian terdahulu yang membolehkan Sabah terlibat secara aktif dalam industri minyak dan gas.
Menurutnya, Sabah turut bakal menerima 20 peratus bahagian daripada projek pembangunan lapangan minyak dan gas baharu yang ditemui PETRONAS di perairan Sandakan.
“Kita berjaya mengadakan perjanjian dengan PETRONAS dan tidak lama lagi, mungkin dalam beberapa bulan ini, kita akan menandatangani perjanjian di mana Sabah akan mendapat 40 peratus daripada projek floating gas di Sabah.
“Di Sandakan pula, PETRONAS sudah menemui satu lapangan minyak dan gas, dan Sabah akan diberikan 20 peratus bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jelajah Rakyat dan Jualan Rahmah MADANI Parlimen Kalabakan di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Kalabakan, hari ini.
Hajiji berkata, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan telah membuka lebih banyak peluang pembangunan serta menarik minat pelabur asing ke Sabah.
Katanya, hampir 40 diplomat asing dan pesuruhjaya tinggi telah mengadakan pertemuan dengannya dalam tempoh lima tahun lalu bagi meneroka potensi pelaburan di negeri ini.
Beliau berkata, dasar mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan negeri turut menyumbang kepada peningkatan pelaburan sehingga kawasan industri seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kini hampir penuh.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan merancang memperluaskan kawasan perindustrian baharu termasuk di POIC Pantai Timur serta taman industri berasaskan ekonomi biru.
Mengenai pembangunan Kalabakan, Hajiji berkata kerajaan komited membangunkan daerah itu secara seimbang menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Antara projek yang dirancang ialah pembinaan Bandar Baharu Kalabakan seluas kira-kira 1,000 ekar yang dijangka menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu daerah itu.
Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan infrastruktur termasuk jalan raya serta pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang bakal menjadi pintu masuk Sabah dari Kalimantan Utara, Indonesia.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this