
KOTA KINABALU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah memperuntukkan sebanyak RM8.799 bilion sehingga Jun 2025 untuk pelaksanaan 86 projek di bawah peruntukan pembangunan (DE) sehingga Rolling Plan Kelima (RP5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan MADANI sentiasa berusaha untuk memastikan Sabah terus makmur bersama dalam keluarga besar Malaysia.
“Kemajuan Sabah bukan hanya tanggungjawab negeri ini, tetapi menjadi amanah seluruh negara.
“Dengan hubungan Persekutuan dan negeri yang kukuh, kita dapat membina sebuah negeri dan negara yang lebih makmur, adil dan lestari dengan sokongan media yang bebas dan berintegriti serta dengan sokongan rakyat yang bersatu hati,” katanya pada Sesi Libat Urus PETRA Bersama Media 2025 (Sabah), di sini kelmarin.
Beliau yang juga Menteri PETRA berkata, media memainkan peranan penting dalam negara ini dengan melaporkan berita, data dan maklumat tepat.
Katanya, media memberikan impak kepada sektor pelaburan dan pelancongan negara.
“Ini turut menyumbang kepada keyakinan pelabur dan pelancong terhadap tahap keselamatan dan kestabilan negara dan kerajaan telah membuka ruang luas kepada kebebasan media.
“Namun, pengamal media perlu pastikan profesionalisme dan etika kewartawanan kekal dipelihara,” katanya.
Menurutnya, pada peringkat antarabangsa, Reporters Without Borders (RSF) menyatakan kedudukan Malaysia melonjak naik pada kedudukan ke-
88 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 berbanding tahun sebelumnya iaitu ke-107.
Katanya, ia sekali gus dilihat sebagai pengiktirafan kepada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media yang bebas, bertanggungjawab dan progresif.


Leave feedback about this