
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk kosmetik tanpa dokumen sah dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina dalam satu operasi khas di perairan daerah ini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu berjaya menahan sebuah feri yang membawa 24,176 unit pelbagai jenis produk kosmetik dengan nilai rampasan dianggarkan RM360,986.
Menurutnya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan dari aras bawah hingga ke aras atas feri sebelum menemui kira-kira 70 longgokan kotak mengandungi pelbagai jenis produk kosmetik.
“Kesemua barangan dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi menuju ke Lahad Datu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati semua produk berkenaan tidak mempunyai dokumen atau permit sah daripada Biro Kastam Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
Operasi itu turut dijalankan bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.


Leave feedback about this