
KUALA LUMPUR: UMNO perlu bermuhasabah dan menerima hakikat bahawa rakyat Sabah menolak parti itu kerana dilihat gagal memperjuangkan kepentingan sebenar negeri berkenaan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan PRU Sabah yang menyaksikan UMNO hanya menang enam kerusi merupakan isyarat jelas penolakan rakyat terhadap UMNO dan parti dari Semenanjung.
Beliau turut menyatakan rakyat Sabah kini lebih cenderung kepada parti tempatan, manakala parti kerajaan Perpaduan dari Semenanjung turut ditolak apabila DAP gagal menang sebarang kerusi dan PKR hanya satu kerusi.
Menurutnya, UMNO terlalu terikat dengan isu nasional dan kurang memberi tumpuan kepada isu khusus Sabah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO perlu menerima keputusan rakyat dengan berlapang dada serta melakukan pembaharuan menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya di Sabah.
