
Rakyat Sabah Perlu Jadi Penerima Manfaat Utama Industri Pelancongan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan bahawa rakyat tempatan mesti terus menjadi penerima manfaat utama daripada pertumbuhan industri pelancongan Sabah melalui peluang pemilikan perniagaan, keusahawanan, pekerjaan dan penglibatan aktif dalam keseluruhan rantaian nilai sektor berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejayaan industri pelancongan tidak boleh diukur hanya berdasarkan jumlah ketibaan pelancong atau nilai pelaburan, sebaliknya perlu dinilai melalui manfaat ekonomi yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat Sabah.
Menurutnya, Kerajaan Negeri konsisten memastikan rakyat tempatan mendapat manfaat daripada setiap aktiviti ekonomi yang berlaku di negeri ini, termasuk dalam sektor pelancongan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keperluan memastikan manfaat pertumbuhan pelancongan, khususnya di Semporna, dapat dinikmati secara lebih meluas oleh masyarakat setempat.
Jafry berkata, Semporna kekal sebagai antara pemacu utama industri pelancongan Sabah apabila merekodkan 560,077 ketibaan pelancong sepanjang tahun 2025, manakala 157,673 pelancong direkodkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Katanya, pertumbuhan itu disokong oleh pelabur, pengusaha pelancongan, komuniti setempat dan agensi kerajaan yang bersama-sama membangunkan industri pelancongan negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) mengalu-alukan pelaburan yang sah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang, namun pembangunan sektor pelancongan perlu berlaku secara seimbang serta inklusif supaya manfaat ekonomi dapat diagihkan secara adil kepada masyarakat tempatan.
Menurutnya, KePKAS mengambil serius isu penglibatan dan pemilikan dalam sektor berkaitan pelancongan termasuk pengangkutan pelancong, penginapan, agensi pelancongan, restoran serta pelbagai perkhidmatan sokongan lain.
Di Semporna, usaha pemantauan dan penguatkuasaan sedang diperkukuhkan bagi memastikan semua aktiviti pelancongan beroperasi secara telus, mematuhi undang-undang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan secara mampan.
Jafry berkata, kementerian akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, agensi berkaitan dan pemain industri bagi memastikan sektor pelancongan Sabah terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negeri tanpa mengabaikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat tempatan.
