Sabah First Info Blog Tempatan Rafie Mahu Kerajaan Pertimbang Kuota Tambahan Diesel Untuk Sabah
Tempatan Utama

Rafie Mahu Kerajaan Pertimbang Kuota Tambahan Diesel Untuk Sabah

KOTA KINABALU: Cadangan menetapkan had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI tidak sesuai dengan realiti penggunaan bahan api di Sabah, khususnya bagi penduduk luar bandar dan pedalaman yang bergantung kepada kenderaan diesel untuk urusan harian serta aktiviti ekonomi.

Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert berkata, pelaksanaan program itu perlu mengambil kira faktor geografi Sabah yang melibatkan jarak perjalanan jauh, kebergantungan terhadap kenderaan diesel serta cabaran infrastruktur di kawasan pedalaman.

Menurutnya, had kuota 200 liter sebulan dilihat tidak mencukupi bagi menampung keperluan sebenar rakyat di daerah seperti Keningau, Nabawan, Sook dan Tenom yang sering melakukan perjalanan jauh untuk bekerja, mendapatkan rawatan kesihatan, pendidikan, urusan kerajaan serta perniagaan.

Beliau berkata, penggunaan kenderaan pacuan empat roda dan pikap yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya luar bandar turut menyebabkan penggunaan diesel lebih tinggi berbanding kawasan bandar.

Rafie turut menegaskan sektor pelancongan luar bandar, pertanian dan perusahaan kecil yang menjadi antara pemacu ekonomi Sabah bergantung kepada diesel untuk pengangkutan, logistik dan operasi harian. Katanya, peningkatan kos diesel akan memberi kesan langsung kepada kos operasi, harga barang dan kos sara hidup rakyat, terutama di kawasan pedalaman.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan meneliti semula had kuota subsidi diesel 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI dan mempertimbangkan kuota tambahan khas untuk Sabah bagi memastikan dasar subsidi lebih adil serta selaras dengan keperluan sebenar rakyat negeri ini.

Exit mobile version