Sabah First Info Blog Tempatan Projek Jalan Baharu Pacu Pembangunan Papar-Hajiji
Tempatan Utama

Projek Jalan Baharu Pacu Pembangunan Papar-Hajiji

PAPAR: Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur jalan raya di negeri ini.

Menurut beliau, Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan yang menyebabkan peningkatan trafik, terutama pada waktu puncak.

“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery.

Projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala.

Selain pelebaran jalan, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas dan perlindungan motosikal bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Hajiji turut memberi jaminan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah serta pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual.

Beliau berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat menjadi pemangkin pertumbuhan sosioekonomi, merangsang pelaburan serta memperkukuh sektor pelancongan di Papar selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Pada masa sama, beliau turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 serta Projek Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di Tabing Sungai Intake Kogopon, termasuk kerja perlindungan tebing sungai yang dipohon Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan rakyat di daerah itu.

Exit mobile version