
Politeknik Kota Belud Bernilai RM250 Juta Dijangka Siap 2030, Fokus AI dan Teknologi Hijau
KOTA BELUD: Pembinaan Politeknik Kota Belud yang dianggarkan menelan kos RM250 juta dijangka siap pada 2030 dengan menawarkan program pengajian berteraskan teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, projek itu kini memasuki fasa pelaksanaan selepas proses pengambilan tanah dimuktamadkan menerusi Majlis Penyerahan Cek Cura Pampasan Pengambilan Tanah yang diadakan di Kota Belud, hari ini.
Menurutnya, penyerahan pampasan berkenaan menandakan pembinaan politeknik itu bermula secara rasmi sebelum memasuki fasa penyediaan reka bentuk serta perancangan terperinci.
“Kita harapkan bermula Rolling Plan Ketiga (RP3) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun hadapan, semua aspek pembangunan politeknik ini dapat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2030,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Zambry berkata, penubuhan Politeknik Kota Belud adalah kesinambungan perancangan yang dimulakan sejak 2017 hasil cadangan Ahli Parlimen Kota Belud ketika itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Beliau berkata, politeknik itu akan menawarkan program yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa depan di Sabah.
Antara bidang yang dirancang termasuk tenaga hijau, kecerdasan buatan (AI), sains komputer serta diploma pertanian berasaskan teknologi pintar.
Katanya, pengambilan awal dijangka melibatkan kira-kira 500 pelajar sebelum kapasiti ditingkatkan kepada antara 1,000 hingga 1,500 pelajar apabila kampus beroperasi sepenuhnya.
