
KOTA KINABALU: Kewujudan pertindihan kerusi dengan rakan dalam kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU 17 Sabah) tidak dapat dielakkan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun wujud pertindihan dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting dan Kemabong, semuanya mempunyai kesepakatan dan persefahaman.
“Semua jentera bergerak masing-masing dan berharap tidak menyentuh sensitiviti parti masing-masing, tiada masalah semua ada persefahaman,” katanya pada Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Media di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak menafikan akan bergabung dengan mana-mana parti di Sabah untuk membentuk kerajaan selepas PRU17 Sabah nanti.
Katanya, tiada satu parti pun yang akan mencul sebagai kuasa dominan dan hanya dengan pendekatan gabungan sahaja mampu membentuk kerajaan negeri yang lebih stabil.
Berkenaan dengan ramai calon Bebas bertanding pada PRU17 Sabah, Zahid berkata, ia merupakan hak demokrasi dan orang Sabah sangat ‘enjoy’ menjadi calon.
Dalam pada itu, beliau berkata, BN Sabah mempunyai peluang yang lebih besar bagi memenangi PRU17 Sabah.
Katanya, jentera BN Sabah kali ini lebih tersusun dan kerjasama dengan PH, ia membolehkan BN bertapak di kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi.
Kali ini katanya, BN Sabah lebih disenangi rakyat walaupun kawasan itu bukan kawasan masyarakat Islam.
“Isu nasional tidak begitu menguasai minda pengundi, tetapi hanya kepada isu-isu tempatan seperti kemudahan asas.
“Berkenaan dengan tuntutan 40 peratus hasil, itu sudah dan akan dijelaskan oleh Perdana Menteri.
“Kita juga tidak akan membuat rayuan berhubung dengan perkara itu,” katanya.
Katanya, pelbagai ditawarkan kepada rakyat Sabah agar pembangunan negeri ini dapat terus dimajukan, tetapi ia memerlukan satu pentadbiran yang stabil dan kukuh.
Sumber Utusan Borneo
