Tempatan Utama

Peralatan Bom Ikan Dirampas, Dua Warga Asing Ditahan

SEMPORNA: Dua warga asing ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pembuatan bom ikan menerusi satu serbuan di Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah berkata, serbuan kira-kira jam 11 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bersama Balai Polis Pulau Bum Bum.

Menurutnya, operasi berkenaan dilakukan hasil maklumat dan risikan yang diterima berkaitan kegiatan pembuatan bom ikan di kawasan terbabit.

“Hasil pemeriksaan di dua buah rumah tidak bernombor, polis menemukan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk membuat bom ikan.

“Susulan itu, dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga asing masing-masing berusia 25 dan 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Selain itu, kedua-dua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali serta tidak lebih enam sebatan,” katanya.

Dalam pada itu, Tan merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis dan menggesa masyarakat terus bekerjasama membanteras kegiatan jenayah.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan ini kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan awam, malah merosakkan ekosistem marin serta membahayakan nyawa,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating