
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan penutupan sementara beberapa kawasan tempat letak kereta di sekitar pusat bandar raya ini bermula 27 Julai hingga 1 Ogos 2025 bagi memberi laluan kepada penganjuran Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK, kawasan yang terlibat termasuk tempat letak kereta di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, Lorong Dewan dan Jalan Padang.
Penutupan di tempat letak kereta Dewan Masyarakat bermula pada Ahad, 27 Julai jam 1 pagi hingga Jumaat, 1 Ogos jam 1 petang bagi tujuan pemasangan khemah jamuan makan dan raptai pertama.

Sementara itu, penutupan Lorong Dewan dan tempat letak kereta di lorong tersebut akan dibuat pada Khamis, 31 Julai dari jam 1 pagi hingga 4 petang bagi raptai kedua.
Tempat letak kereta di Jalan Padang pula ditutup pada hari acara sebenar iaitu Jumaat, 1 Ogos dari jam 1 pagi hingga 1 petang.
DBKK turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan pihak berkuasa serta menggunakan jalan dan laluan alternatif bagi tujuan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Orang awam yang menghadiri acara tersebut atau melalui kawasan terlibat disarankan merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa berwaspada terhadap perubahan lalulintas di lokasi berkenaan.


Leave feedback about this