Sabah First Info Blog Tempatan Pencuri kabel Sabah Electricity diberkas bersama 12 kilogram tembaga
Tempatan Utama

Pencuri kabel Sabah Electricity diberkas bersama 12 kilogram tembaga

KOTA MARUDU: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity di daerah Pitas terbongkar apabila dia ditahan bersama 12 kilogram tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel curi dalam serbuan awal pagi Rabu.

Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, polis turut merampas sebuah beg berisi tembaga yang dipercayai diperoleh daripada kabel yang dicuri.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Menurutnya, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun dari Kampung Maringgan, Pitas dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity di kawasan Telaga, Pitas.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan satu beg berisi tembaga seberat 12 kilogram yang dipercayai hasil kupasan kabel curi dan dipercayai belum sempat dijual.

“Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap harta awam.

“Suspek juga akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Simiun turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah dan orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

Exit mobile version