
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, pemerkasaan wanita adalah tinggi dalam agenda Kerajaan Negeri dan ini dicerminkan dalam peruntukan RM5.83 juta di bawah Bajet Negeri untuk melaksanakan program pembangunan wanita melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) tahun ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan pertubuhan yang sehaluan seperti Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) untuk melengkapkan usaha memperkasakan wanita.
“Kita berusaha untuk memastikan wanita mendapat peluang dan faedah yang sama,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 SWEPA dan makan malam amal di Magellan Sutera Harbour, di sini, malam tadi. Ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.
Mengucapkan tahniah kepada SWEPA kerana mencapai ulang tahun yang penting, Ketua Menteri gembira mengetahui bahawa teras misi SWEPA adalah dedikasinya untuk memperkasakan wanita melalui pembangunan kemahiran dan pengetahuan.
“Anda secara konsisten telah membuktikan komitmen anda untuk memupuk dan meningkatkan bakat wanita melalui pelbagai program latihan, bengkel dan inisiatif bimbingan. Dalam proses itu, ramai wanita telah dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk memecahkan halangan dan cemerlang dalam pelbagai bidang,” katanya.


Leave feedback about this