Tempatan Utama

Pembangunan belia antara perjuangan di Darau -Razali

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Razali Razie @ Bob menegaskan fokus utamanya dalam pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) berkisar kepada agenda pengukuhan struktur pengurusan kampung, pembangunan belia dan penyusunan komuniti secara teliti bagi memastikan perubahan di kawasan diwakilinya dapat dicapai dengan jelas.

Beliau berkata, pergerakan GRS sejak tiga tahun lalu memberi keyakinan untuk mengharungi persaingan enam penjuru di kawasan itu.

Razali berkata, strategi yang disusun sejak awal terus digerakkan secara berterusan, sekali gus menjadi kekuatan utama jentera parti.

“Kehadiran kira-kira 2,000 penyokong pada hari penamaan calon hanya sebahagian kecil daripada sokongan sebenar di peringkat akar umbi, ia memberi gambaran semangat yang dibina sejak tiga tahun menunjukkan kesan ketara.

“Saya optimis momentum akan bertambah apabila kempen bergerak ke seluruh kawasan.

“Saya berharap budaya kesatuan terus diperkukuh sepanjang kempen kerana keyakinan penyokong menjadi nadi utama perjuangan parti,” katanya.

Mengulas fokus utama yang ingin dibawa jika diberi mandat, Razali berkata agenda pertama ialah penubuhan Majlis Pembangunan dan Pengurusan Kampung serta taman perumahan.

“Majlis itu akan menghimpunkan pemimpin kampung dan NGO berkaitan bagi memastikan penyusunan kerja dilakukan secara teliti, dengan sistem komunikasi lebih jelas dan teratur.

“Mesyuarat berkala serta penetapan KPI akan menjadi asas kepada operasi majlis berkenaan yang dipantau terus oleh wakil rakyat.

“Selain itu, pembangunan belia menjadi tunjang kedua, saya berhasrat mewujudkan pusat belia di setiap kampung sebagai ruang aktiviti, latihan dan pembinaan kapasiti golongan muda,” katanya.

Tambahnya, beliau ingin memperluas program keusahawanan untuk belia Darau bagi membuka peluang ekonomi dan meningkatkan keupayaan mereka bersaing dalam pasaran.

“Dua aspek itu menjadi fokus kempen kerana ia menyentuh keperluan asas masyarakat setempat yang menantikan perubahan.

“Kekuatan GRS terletak pada kesatuan dalaman serta visi selaras antara calon, jentera dan penyokong di peringkat kampung.

“Saya yakin keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa akan mempengaruhi keputusan di peti undi,” katanya.

Katanya, perjuangan membawa pembangunan kampung dan belia perlu dilakukan secara tersusun, berintegriti dan berpaksikan kepercayaan rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan tindakan disiplin diambil terhadap mana-mana ahli yang bertanding atas tiket parti lain atau sebagai calon bebas.

“Katanya, beberapa nama sudah dikenal pasti dan proses pengguguran keahlian sedang berjalan.

Razali menjelaskan pertandingan yang muncul akibat peralihan ahli dalam komponen lain dianggap sebahagian daripada proses demokrasi, namun GRS kekal konsisten mempertahankan prinsip serta kerjasama dalam blok politik yang disertainya.

Leave feedback about this

  • Rating