
KINABATANGAN: Tujuh rumah jenis tidak kekal dan sebuah kenderaan pacuan empat roda musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Pangkalan Bukit Garam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, seorang anggota Pasukan Bomba Bantuan (PBB) dilaporkan mengalami kecederaan ketika operasi pemadaman dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.08 malam sebelum 17 anggota bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai.
“Setibanya pasukan bomba pada jam 10.21 malam, didapati tujuh rumah jenis tidak kekal terbabit dalam kebakaran. Enam daripadanya musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan kira-kira 20 peratus.
“Turut musnah sepenuhnya sebuah kenderaan pacuan empat roda milik salah seorang penghuni,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, antara rumah yang terbakar 100 peratus ialah Rumah No.24 dan No.32 yang masing-masing dua tingkat, selain Rumah No.39, Rumah No.27 (dua tingkat) serta dua rumah tanpa nombor yang dilaporkan kosong ketika kejadian.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan daripada sumber air jentera dan pili bomba berhampiran.
Selain itu, satu lagi aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan pam angkut dari sumber air terbuka iaitu sungai berhampiran turut digunakan bagi mengawal api daripada terus merebak.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.20 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.40 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya.
Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada turut terjejas. Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
