
TAWAU: Tawau wajar dipertimbangkan untuk penambahan dua kerusi Parlimen baharu susulan peningkatan ketara jumlah pengundi yang kini melebihi 80,000 orang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan itu menunjukkan keperluan untuk menilai semula struktur pembahagian kawasan sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan.
Katanya, jumlah pengundi yang tinggi bukan sahaja meningkatkan beban tugas wakil rakyat dari segi liputan kawasan, malah menjejaskan keupayaan untuk mendekati pengundi di peringkat akar umbi.
“Cadangan mewujudkan dua Parlimen baharu di Tawau adalah antara langkah yang boleh dipertimbangkan bagi memastikan setiap kawasan mendapat perhatian lebih seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Tawau, di sini, hari ini.
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, secara ideal satu kawasan Parlimen seharusnya melibatkan sekitar 40,000 hingga 50,000 pengundi bagi memperkukuh hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat.
Menurutnya, sebarang penstrukturan semula kawasan perlu mengambil kira faktor demografi, kepadatan penduduk serta keperluan pembangunan setempat agar selari dengan keperluan semasa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan berkenaan perlu melalui saluran rasmi termasuk penelitian Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia serta kelulusan di peringkat Persekutuan.
Sementara itu, lebih 6,000 masyarakat pelbagai kaum menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 1 petang dalam suasana meriah dan harmoni.


Leave feedback about this