Tempatan Utama

Minta Kerajaan Persekutuan bayar balik 40 peratus hasil dikutip ‘secara berkala’ – Masiung

KOTA KINABALU: Seorang pemimpin kanan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mencadangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar dijadikan platform bagi menuntut bayaran balik 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari Sabah ‘secara berkala’.

Naib Presidenya, Datuk Masiung Banah berkata, jika Putrajaya berasa sukar memulangkan serentak bayaran 40 peratus itu dalam masa setahun, pada dasarnya DUN Sabah boleh mensyorkan mekanisme supaya bayaran dibuat secara berkala.

ADUN Kuamut itu mengesa Speaker DUN Sabah menyediakan agenda tuntutan berkala itu pada persidangan hujung tahun ini untuk dibahaskan.

“Cadangan ini bagi memudahkan akses Putrajaya melaksanakan pembayaran balik hasil yang dikutip dari Sabah itu seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita beri kelonggaran kepada Kerajaan Persekutuan, sama ada mahu membayar tiga atau empat kali dalam tempoh setahun sehingga mencapai angka 40 peratus,” tegasnya dalam kenyataa hari ini,

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB), kesal kerana Putrajaya sengaja melengahkan tuntutan itu sehingga rakyat Sabah terpaksa menanti selama 60 tahun.

Masiung mengingatkan, kegagalan Kerajaan Persekutuan mengembalikan 40 peratus kutipan hasil dari Sabah akan menimbulkan kemarahan rakyat Sabah sekaligus menimbulkan persepsi bahawa pemimpin Kerajaan Negeri tidak bersungguh-sungguh terhadap tuntutan itu.

Menurutnya, tahun lalu Kerajaan Persekutuan telah mengaut keuntungan sebanyak RM41 billion dari hasil minyak dan kastam Sabah.

Jumlah itu katanya, tidak termasuk hasil kutipan oleh agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat ladang sawit dan pelabuhan.

Leave feedback about this

  • Rating