Tempatan Utama

MCMC Turun Padang, Dua Lokasi di Tinagat Gagal Penuhi Standard

TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan CelcomDigi dan Maxis mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat selepas ujian mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji gagal memenuhi standard mandatori ditetapkan.

Arahan itu dikeluarkan susulan lawatan dan pengujian kualiti liputan serta prestasi perkhidmatan komunikasi yang dijalankan MCMC berikutan aduan daripada ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan penduduk setempat.

MCMC memaklumkan hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua lokasi ujian tidak mencapai tahap piawaian yang ditetapkan, sebelum dapatan tersebut dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan terbabit pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, kedua-dua syarikat telekomunikasi diberi tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan bagi menangani masalah berkenaan.

CelcomDigi diarahkan melaksanakan langkah peningkatan liputan rangkaian serta menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan panjang, manakala Maxis diminta menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.

MCMC menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan bagi memastikan penduduk setempat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti, stabil dan memenuhi piawaian ditetapkan.

Leave feedback about this

  • Rating