
SEMPORNA: Dua lelaki warga asing ditahan selepas bot pam yang mereka naiki dipintas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi khas di perairan Pulau Karindingan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, bot ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Ops Sejahtera, Ops Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Ops Tiris 4.0 mengesan sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot terbabit bertindak memecut laju bagi melarikan diri, namun berjaya dipintas kira-kira 1.6 batu nautika di timur Pulau Karindingan.
Hasil pemeriksaan menemukan enam botol yang disyaki digunakan untuk aktiviti pengeboman ikan. Kedua-dua suspek berusia 50 dan 24 tahun itu turut didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pengarah Maritim Zon Semporna berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengeboman ikan kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah memusnahkan ekosistem marin negara.
“Penggunaan bom ikan merupakan satu kesalahan jenayah berat dan tindakan khianat terhadap sumber perikanan serta terumbu karang negara.
“Kami akan terus memperketat rondaan dan pemantauan di kawasan hotspot bagi membanteras aktiviti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, sebuah bot tanpa nombor pendaftaran, enjin pam 20 kuasa kuda (HP) dan sebuah kompresor udara yang dipercayai digunakan untuk aktiviti menyelam turut dirampas.
Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, manakala semua barang rampasan dibawa ke Jeti Kem Azumi.
