
TENOM: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menubuhkan pasukan petugas khas bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka membawa musim panas berpanjangan bermula September hingga Februari depan.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kementerian turut menyediakan garis panduan kepada petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah mengelakkan pembakaran terbuka, tidak membuka kawasan baharu serta menyediakan kolam atau takungan air sebagai simpanan untuk kegunaan ketika musim panas.
“Kita telah mengadakan perbincangan dan menyediakan garis panduan kepada semua petani, penternak, nelayan dan pengusaha tanaman supaya berhati-hati semasa musim ini.
“Jangan membuat pembakaran terbuka dan jangan membuka kawasan baharu. Di kawasan yang mempunyai takungan air, diminta membuat kolam-kolam sebagai simpanan air untuk jangka masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Jabatan Penerangan Negeri Sabah di Pejabat Pertanian Tenom, hari ini.
Jamawi berkata, pengusaha ternakan termasuk lembu tenusu, kambing dan sektor perikanan juga perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi cuaca panas.
Katanya, reka bentuk kandang perlu mempunyai pengudaraan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kementerian.
“Saya nanti akan kongsi dengan Jabatan Perikanan supaya dapat disebarluaskan SOP kita menghadapi El Nino,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata MAFFI sedang memperkukuh pembangunan industri pertanian di kawasan pedalaman sebagai sebahagian daripada perancangan mewujudkan zon industri berasaskan aktiviti pertanian.
Katanya, Pantai Barat Sabah sudah mempunyai beberapa zon industri seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), manakala Pantai Timur mempunyai POIC di Sandakan dan Lahad Datu.
“Di pedalaman ini kita cadangkan sebagai zon industri pertanian,” katanya.
Menurutnya, usaha berkenaan telah dimulakan di Beaufort menerusi pembinaan kilang memproses dan menghasilkan bantal berasaskan lateks.
Di Tenom pula, sebuah kilang memproses avokado telah diwujudkan selain empat kilang memproses kopi, manakala kementerian menyediakan peruntukan RM600,000 bagi membina pusat pengeringan kopi bagi menyokong industri berkenaan.
Di Keningau, katanya, MAFFI mencadangkan kawasan itu sebagai hab pemprosesan hasil tenusu dan daging lembu dengan mengambil kira kewujudan pengusaha seperti Eko Yap/Keningau Dairy dan Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).
“Masih kekurangan untuk memproses. Itu makanya kita menjemput dan juga bekerjasama dengan Farm Fresh Sdn Bhd untuk mendirikan kilang berasaskan kepada lembu tenusu dan juga lembu daging,” katanya.
Sementara itu, kawasan Tambunan akan dibangunkan dengan industri pemprosesan berasaskan halia.
Jamawi berkata, pembangunan industri hiliran penting bagi membolehkan hasil pertanian diproses menjadi produk bernilai lebih tinggi, sekali gus meningkatkan harga komoditi dan pendapatan petani.
Katanya, harga susu getah atau lateks misalnya meningkat daripada kira-kira RM7.30 ketika beliau mula menjadi menteri kepada RM8.90 ketika ini hasil usaha memproses lateks menjadi produk seperti bantal.
Mengenai kilang avokado di Kampung Bunut, Jamawi berkata bangunan berkenaan telah siap dan kini dalam proses dilengkapi mesin serta peralatan dengan kos dianggarkan kira-kira RM2 juta.
Apabila siap, kilang itu akan memproses avokado kampung dan avokado KW1, dengan buah gred A dan B dieksport, manakala buah gred C akan diproses menjadi produk hiliran.
Terdahulu, Jamawi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Tenom di Pejabat Daerah Tenom bersama ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan, Jainisah Mohd Noor; Pegawai Pertanian Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab Gulam; Pegawai Penerangan Tenom, Kenny Thomas dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Densely Justin.


Leave feedback about this