
–fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 19 Jan: Sultan Ibrahim bertitah bahawa hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas pembentukan Malaysia melibatkan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Seri Paduka menegaskan kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan dalam setiap pertimbangan dan keputusan yang dibuat.
“Hakikatnya hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati. Namun begitu, kepentingan Malaysia secara bersama hendaklah sentiasa diutamakan,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15, di sini hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Amar Fadillah Yusof serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Baginda turut mengingatkan bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian di Dewan Rakyat bukan hanya mencerminkan pendirian politik parti, sebaliknya menjadi penentu masa depan negara.
Pada masa sama Seri Paduka turut mengingatkan semua Ahli Parlimen agar lebih berhati-hati dalam perbahasan dan tindakan supaya tidak menghasut sehingga mencetuskan ketegangan antara wilayah, yang boleh menjejaskan perpaduan negara.
“Sebarang perbezaan pandangan antara negeri dan Kerajaan Persekutuan hendaklah diselesaikan secara matang, berlandaskan semangat hormat-menghormati dan kerjasama erat, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” titah Baginda.
Sumber -TVS.
