
TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun diberkas polis selepas bertindak agresif dengan mengurung isteri serta tiga anaknya dalam kejadian di sebuah perumahan pekerja ladang di Kalabakan, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.30 malam memaklumkan suspek mengamuk di kediamannya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian sebelum mengunci ahli keluarganya di dalam rumah serta mengugut untuk mencederakan sesiapa yang cuba mendekati.
“Suspek turut bertindak ganas dengan membaling sabit ke arah individu yang cuba menenangkan keadaan selain mengeluarkan ugutan bunuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau bersama Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
Katanya, operasi menyelamat berlangsung hampir tujuh jam berikutan suspek enggan memberi kerjasama dan berada dalam keadaan tidak stabil.
“Polis mengambil pendekatan memujuk sebelum melancarkan serbuan. Suspek akhirnya berjaya dilumpuhkan menggunakan Taser Gun sebelum ditahan,” jelasnya.
Tambah beliau, semua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan serius.
Suspek ditahan kira-kira jam 10.30 pagi keesokan hari dan polis turut merampas beberapa senjata berbahaya termasuk sabit, parang serta paip besi di lokasi kejadian.
Menurut Jasmin Hussin, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 342 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa jika berdepan situasi keganasan rumah tangga atau individu bertindak di luar kawalan.


Leave feedback about this