Tempatan Utama

Lebih 10 Ribu PATI Dihantar Pulang Dari Sabah Sehingga November 2026

Lebih 10 Ribu PATI Dihantar Pulang Dari Sabah Sehingga November 2026

TAWAU, 20 November – Seramai 10,018 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah dipindahkan pulang ke negara asal masing-masing menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah sehingga 20 November 2026.

Terbaharu, seramai 12 tahanan PATI dipindahkan melalui udara dari Depot Imigresen Tawau pada 19 November lalu, melibatkan 10 warga Pakistan, seorang warga India dan seorang warga Vietnam.

Kesemua tahanan dibawa dari Lapangan Terbang Tawau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke negara asal masing-masing.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memaklumkan, program pemindahan itu dilaksanakan bagi memastikan urusan penghantaran pulang tahanan ke negara asal berjalan secara teratur, selamat dan mengikut prosedur serta peraturan imigresen yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, pihak majikan turut diingatkan supaya memastikan setiap pekerja warga asing yang diambil bekerja memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah.

Jabatan Imigresen menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

Mengikut Akta Imigresen 1959/63, majikan yang melakukan kesalahan berkaitan boleh berdepan hukuman termasuk denda sehingga RM50,000, penjara dan sebatan, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

Leave feedback about this

  • Rating