
LAHAD DATU: Seramai 64 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) selama dua hari bermula 16 Jun lalu.
Operasi yang membabitkan 262 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa itu turut mengesan pelbagai pelanggaran undang-undang berkaitan sektor pekerjaan, imigresen, pelesenan perniagaan, trafik, utiliti dan perkastaman dengan nilai keseluruhan penguatkuasaan, kompaun serta rampasan dianggarkan RM623,450.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai usaha berterusan memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), selain membanteras kehadiran PTI dan aktiviti ekonomi tidak sah.
Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap 247 individu di kawasan bandar, pinggir bandar dan kampung sekitar Lahad Datu mendapati 64 daripadanya merupakan PTI.
“Kesemua mereka diserahkan kepada JIM Lahad Datu untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“ESSCOM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESSZONE,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu juga bertujuan melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, memastikan persaingan perniagaan yang adil serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan akibat aktiviti yang dijalankan tanpa mematuhi peruntukan undang-undang.
Dalam operasi sama, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 11 kompaun dan memulakan dua tindakan pendakwaan di bawah Akta Kerja 1955 dengan nilai penguatkuasaan RM133,000.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan dan tiga kompaun, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas rokok seludup dan minuman keras tanpa lesen yang dianggarkan bernilai RM30,000.
Pada masa sama, Sabah Electricity (SES) merampas 150 kilogram kabel sambungan haram dan 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan RM14,800. SES turut menganggarkan kerugian hasil akibat sambungan haram berkenaan mencecah RM429,600 setahun.
Victor berkata, kejayaan itu membuktikan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan elemen keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia mampu mengesan pelbagai bentuk pelanggaran yang memberi kesan kepada keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Sejajar dengan hasrat ESSCOM iaitu ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, agensi ini akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang sebarang elemen jenayah rentas sempadan serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Sabah Timur kekal selamat dan terkawal,” katanya.
