Tempatan Utama

Label Halal Diragui, 12 Kontena Makanan Sejuk Beku Dirampas di pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan memperkukuh kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan makanan, khususnya produk yang diragui status halalnya, daripada memasuki pasaran Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu diambil susulan rampasan 12 kontena makanan sejuk beku dalam Ops Ribat Sepanggar 1/2026 di Pelabuhan Sepanggar, melibatkan anggaran berat 348,000 kilogram bernilai kira-kira RM3.42 juta.

Menurut beliau, kontena berkenaan dipercayai membawa ayam sejuk beku yang disyaki diimport dari China tetapi dilabel sebagai berasal dari Thailand, selain memaparkan logo halal yang diragui.

Jamawi memuji tindakan pantas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah yang berjaya menghalang produk berkenaan daripada memasuki pasaran terbuka.

Katanya, sebanyak 11 daripada 12 kontena mengandungi ayam sejuk beku, manakala satu lagi dipercayai mengandungi daging babi, selain terdapat satu kontena yang masih menunggu pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati dagangan itu diikrarkan secara tidak selaras dalam manifes K4 sebagai “vegetable” atau “other food stuff”, sedangkan kandungannya ialah ayam dan daging babi sejuk beku.

Sehubungan itu, Jamawi akan mengemukakan laporan kepada Kabinet Negeri dan memohon penubuhan jawatankuasa khas melibatkan MAFFI, AKPS, JKDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pengurusan barang rampasan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 128, Seksyen 133(1) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, manakala siasatan lanjut dikendalikan oleh JKDM.

Leave feedback about this

  • Rating