Tempatan Utama

Kurang 24 Jam, Polis Tawau Berjaya Jejak Suspek Rogol

TAWAU – Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang remaja wanita dalam tempoh kurang 24 jam selepas laporan dibuat.

Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central dibawa oleh suspek menaiki kenderaan pacuan empat roda ke sebuah hotel.

Mangsa kemudian menyedari dirinya menjadi mangsa rogol sebelum tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau bertindak pantas mengesan dan menahan suspek di Kampung Pukat.

“Suspek merupakan lelaki warga tempatan berusia sekitar 28 tahun dan semakan awal mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya wanita, agar sentiasa menjaga keselamatan diri, mengelakkan berada bersendirian di tempat berisiko serta berwaspada dalam apa jua keadaan.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Leave feedback about this

  • Rating