
SEMPORNA: Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI) menyifatkan kuota diesel sebanyak 200 liter di bawah Program BUDI MADANI sebagai tidak mencukupi untuk menampung keperluan operasi harian pengusaha pelancongan di daerah itu.
Pengerusinya, Mad Zafar Mad Zahala berkata, kebanyakan pengusaha bergantung kepada diesel untuk menggerakkan bot pelancong, bas pelancong serta generator di chalet dan penginapan atas laut.
Menurut beliau, kuota yang rendah serta cadangan kenaikan harga diesel di Sabah akan meningkatkan kos operasi, sekali gus menjejaskan harga perkhidmatan, daya saing industri pelancongan dan pendapatan ribuan pekerja yang bergantung kepada sektor berkenaan.
Beliau berkata, PUSPABUMI tidak menolak usaha kerajaan menambah baik sistem subsidi, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan sebenar di Sabah yang berbeza dengan Semenanjung.
Sehubungan itu, PUSPABUMI menggesa kerajaan Persekutuan dan kementerian berkaitan mengkaji semula kuota diesel Program BUDI MADANI serta memastikan dasar yang dilaksanakan lebih sesuai dengan keperluan industri pelancongan di Semporna.
Sumber Utusan Borneo
