
KINABATANGAN: Sebuah kuarters dua pintu milik Klinik Kesihatan Tongod musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, bangunan jenis separuh kekal berkeluasan 40×60 kaki berkenaan dilaporkan terbakar 100 peratus sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.
Menurutnya, jarak sejauh 172 kilometer menyebabkan pasukan tiba pada jam 6.30 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah kuarters dua pintu yang musnah sepenuhnya. Turut terjejas sebuah rumah tidak kekal dengan kerosakan kira-kira 20 peratus serta sebuah kenderaan pacuan empat roda yang mengalami kerosakan sekitar 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Tongod yang lebih awal menjalankan usaha memadam kebakaran menggunakan pam angkut bagi mengawal api daripada terus merebak.
Pasukan bomba kemudian menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.48 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 7.58 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dijalankan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.


Leave feedback about this