
KUNDASANG:Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menetapkan pelarasan baharu had kuota tetap bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi sektor pengangkutan darat barangan, berkuat kuasa 1 Jun 2026.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setiap fleet card akan mempunyai kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan, tertakluk kepada 23 jenis kenderaan yang telah ditetapkan dalam sistem SKDS.
Menurut beliau, pelarasan itu dibuat berdasarkan analisis penggunaan sebenar kenderaan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan sistem tersebut, bagi memperkukuh kawalan subsidi serta mengekang ketirisan dan penyalahgunaan fleet card.
“Kadar kuota tetap ini ditetapkan berdasarkan data penggunaan semasa. Ia bagi memastikan subsidi diesel sampai kepada pihak yang benar-benar layak,” katanya ketika sidang media di Kundasang.
Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat yang memerlukan kuota tambahan boleh mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum (JKSP) melalui emel rasmi atau secara fizikal di pejabat KPDN.
Rayuan tersebut akan dinilai berdasarkan keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan bulanan dalam sistem SKDS sejak pendaftaran dibuat.
Dalam masa sama, KPDN turut mengingatkan semua syarikat yang berdaftar agar menggunakan kemudahan subsidi secara berhemah dan bertanggungjawab.
Sebarang penyalahgunaan fleet card boleh menyebabkan penggantungan serta-merta dan tindakan senarai hitam terhadap syarikat terlibat.
KPDN juga menggalakkan syarikat pengangkutan yang masih belum berdaftar dalam SKDS dan SKPS supaya segera berbuat demikian melalui portal rasmi MySubsidi di mysubsidi.kpdn.gov.my.
Sumber NewSabahNews


Leave feedback about this