Tempatan Utama

KPDN lupus barangan tiruan bernilai lebih RM375 ribu

LUPUS: Zulfamy diiringi pegawainya melakukan gimik pelupusan barangan tiruan di Stor Ekshibit KPDN di sini.

 

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah melupuskan barangan tiruan bernilai RM375,210.63 hasil rampasan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 sejak 2019 sehingga tahun ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri merangkap Timbalan Pengarah KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi yang mewakili Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata Majlis Pelupusan Ekshibit Perdana itu dilaksanakan sekali dalam tempoh setahun membabitkan barangan tiruan seperti pakaian sukan, kasut, selipar, beg, jam tangan, minyak wangi, syampu, pisau cukur, cakera padat dan pemacu pena atau pendrive.

“Kesemua barangan yang dilupuskan adalah hasil daripada 11 kes yang sudah diselesaikan dan didapati bersalah mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Barangan ini juga diperoleh daripada kira-kira 20 premis sekitar ibu negeri dengan rampasan baju jersey paling banyak bernilai RM233,000,” katanya semasa sidang media di Stor Ekshibit KPDN di sini.

Menurutnya pelupusan barangan membabitkan beberapa kaedah iaitu dengan cara memusnahkan barangan hasil cetak rompak dan barangan tiruan manakala barangan yang menepati spesifikasi akan didermakan kepada pihak memerlukan seperti anak yatim sebaik melalui beberapa prosedur dan terdapat juga barangan rampasan akan dikembalikan kepada pemilik sebaik pihak peniaga mempunyai lesen yang sah.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, KPDN Sabah berjaya melaksanakan 18 siri pelupusan dengan nilai ekshibit sebanyak RM1,045,644.65 dan RM396,998.07 daripada jumlah terbabit dijadikan hasil kerajaan.

“Setakat Januari sehingga 21 November, KPDN Sabah berjaya melaksanakan 70,335 pemeriksaan di premis seluruh Sabah.

“Hasil pemeriksaan berjaya menghasilkan 1,096 kes melibatkan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita juga mencatatkan nilai kompaun sebanyak RM485,800, diikuti nilai rampasan sebanyak RM5,941,181.81 dan nilai denda sebanyak RM123,000.00,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kepentingan pengguna terus dipelihara, KPDN akan sentiasa meningkatkan penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas dan adil terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan kementerian.

Tambahnya tindakan ini juga mampu mewujudkan suasana perniagaan yang adil dan kondusif.

“Peniaga diingatkan agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

“KPDN sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga dengan menyalurkan aduan menerusi saluran Whatsapp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal aduan e-aduan.kpdn.gov.my serta menghantar surat rasmi ke pejabat KPDN yang berdekatan dan bilik gerakan KPDN negeri,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating