
KENINGAU: Ketua Wiranita Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bahagian N.40 Bingkor yang juga Naib Exco Wiranita negeri, Jennifer Epil, mengumumkan peletakan jawatan serta penarikan diri daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu turut disertai sebahagian Ahli Jawatankuasa Wiranita bahagian berkenaan yang telah mencapai kata sepakat untuk keluar parti selepas membuat pertimbangan secara teliti.
Menurut Jennifer, langkah tersebut diambil selepas menilai beberapa faktor termasuk hala tuju perjuangan parti, aspirasi semasa serta peranan wanita dalam landskap politik tempatan yang dilihat tidak lagi seiring dengan prinsip dan pendirian mereka.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan STAR Sabah atas kepercayaan, peluang serta pengalaman yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam parti.
Katanya, pengalaman itu telah membentuk beliau dan rakan-rakan sebagai wanita yang lebih berani, bertanggungjawab serta peka terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Sabah.
Beliau turut menegaskan bahawa pengunduran tersebut tidak bermakna perjuangan mereka berakhir, sebaliknya mereka akan terus menyumbang kepada masyarakat dalam kapasiti yang lebih sesuai dan berkesan, selaras dengan nilai serta prinsip yang diyakini.
