Sabah First Info Blog Tempatan Ketua Menteri Arah Tindakan Pantas Bantu Wanita Sabah Koma di Vietnam
Tempatan Utama

Ketua Menteri Arah Tindakan Pantas Bantu Wanita Sabah Koma di Vietnam

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) bertindak pantas membantu seorang wanita Sabah yang kini berada dalam keadaan koma selepas diserang penyakit ketika berada di Vietnam.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, beliau telah menghubungi suami mangsa, Jamri menerusi panggilan video bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai keadaan isterinya, Ruhanna Joseph.

Menurut beliau, hasil perbualan itu mendapati mangsa kini kritikal dan memerlukan rawatan rapi.

“Sejurus menerima maklumat mengenai insiden ini, saya telah berhubung dengan suami mangsa bagi mengetahui keadaan sebenar isterinya yang kini koma di Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan YKS supaya segera menyalurkan bantuan kepada mangsa dan keluarganya sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri.

Beliau berkata, Pengarah YKS, Datuk Diyanah Abdullah telah dihubungi bagi menyelaras usaha membawa pulang mangsa ke Kota Kinabalu.

Katanya, segala keperluan termasuk aspek perubatan dan pengiring pakar sedang diuruskan bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar.

Tambahnya, penerbangan pulang dijangka dilakukan pada 30 April 2026, tertakluk kepada keadaan kesihatan mangsa.
Beliau turut berharap agar segala urusan dipermudahkan dan mangsa segera pulih.

Sumber Warta Oriental

Exit mobile version