
KOTA KINABALU: Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh (gambar) bersedia menentang tuntutan saman berkenaan dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam jawatan awam berkaitan Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI).
Beliau menegaskan bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta kerajaan negeri menafikan dakwaan salah guna kuasa yang terkandung dalam writ saman difailkan oleh firma guaman Chin Jingulam & Associates, yang mewakili SFI.
“Kami mengambil serius terhadap dakwaan ini, namun kami ingin menegaskan bahawa tuntutan terbabit bukan sahaja tidak berasas, tetapi turut mengganggu dan menyusahkan kerana terdapatnya proses perundangan yang masih berjalan antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan media.
Brenndon menjelaskan bahawa pihaknya akan menentang tuntutan ini dengan memfailkan pembelaan yang menyeluruh, dan akan memastikan dakwaan berkenaan tidak dibiarkan tanpa dicabar.
Menurutnya, firma guamannya menerima writ saman daripada firma guaman Chin Jingulam & Associates pada hari Isni dan mereka akan memfailkan memorandum kehadiran pada Selasa.
“Kami komited untuk melindungi reputasi ketua nenteri, kerajaan negeri serta integriti keputusan yang dibuat. Perkara ini akan dibawa ke mahkamah dan kami percaya keputusan yang adil akan dapat dicapai,” katanya.
