
PAITAN: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib, menyerahkan empat unit satelit Starlink bagi memulihkan capaian komunikasi di kawasan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Kemudahan tersebut disumbangkan oleh SabahNet Sdn Bhd, agensi di bawah kementerian berkenaan, sebagai langkah segera memastikan rangkaian internet di lokasi terjejas dapat berfungsi semula.
Inisiatif itu bertujuan memudahkan penyelarasan bantuan, penyampaian maklumat kepada penduduk serta menyokong operasi pengurusan bencana dan proses pemulihan pasca banjir.
Penyerahan unit satelit berkenaan dibuat kepada Pegawai Daerah Paitan, Joloning Joe Majambu, untuk diselaraskan dan ditempatkan di kawasan yang dikenal pasti memerlukan capaian internet segera.
Usaha ini diharap dapat mempercepatkan proses pemulihan selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk yang terkesan terus diberi perhatian sewajarnya.
